Pelajar Malaysia tidak pulang dinasihat kekal berhubung dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka
PUTRAJAYA – Rakyat Malaysia yang memilih untuk kekal di Bangladesh dinasihatkan sentiasa berhubung dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka bagi memastikan mereka berada dalam keadaan selamat susulan protes di negara itu.
Wisma Putra dalam kenyataan hari ini berkata, beberapa rakyat Malaysia terdiri daripada penuntut tahun akhir di negara itu membuat keputusan untuk tidak menyertai penerbangan pulang (evakuasi) ke negara ini.
“Mereka yang memilih untuk kekal disarankan untuk terus berkomunikasi dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka, bagi menerima maklumat terkini dan sokongan jika perlu.
“Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka sentiasa bersedia menghulurkan bantuan serta memastikan keselamatan mereka terjamin,” katanya Wisma Putra.
Sementara itu, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka memaklumkan pihaknya akan terus memantau konflik yang berlaku di negara itu dari semasa ke semasa.
“Kami akan memantau situasi dengan rapat, sedia bertindak dengan pantas terhadap sebarang perkembangan, serta memastikan rakyat Malaysia di negara itu mendapat maklumat dan sokongan yang diperlukan,” katanya.
Sementara itu, seramai 123 orang rakyat Malaysia yang dibawa keluar dari negara itu selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 petang ini.
Kesemua dibawa menaiki penerbangan khas AirAsia AK76 pada pukul 11.23 pagi waktu tempatan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal.
Misi berkenaan melibatkan 15 pegawai daripada Kementerian Luar, Jabatan Perdana Menteri dan Majlis Keselamatan Negara.
Sehubungan itu, Wisma Putra memaklumkan kerajaan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada kerajaan Bangladesh atas kerjasama baik yang diberikan sepanjang proses evakuasi itu.
Sekurang-kurangnya 139 maut dalam rusuhan pelajar melawan pihak berkuasa Bangladesh susulan bantahan terhadap sistem kouta pekerjaan di sektor awam di negara itu.
Sistem kouta yang memberi kelebihan kepada anak-anak bekas tentera mencetuskan protes besar-besaran sejak minggu lalu.
Semalam Mahkamah Agung Bangladesh membuat keputusan menghapuskan sistem kouta berkenaan susulan insiden yang tercetus.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








