Ahli parlimen Parti Buruh UK didakwa terpalit penyelewengan projek nuklear Bangladesh
LONDON – Setiausaha Ekonomi Perbendaharaan UK, Tulip Siddiq, berdepan dakwaan penyelewengan dana bernilai RM21.95 bilion (£3.9 bilion) daripada projek infrastruktur di Bangladesh yang sedang disiasat oleh Suruhanjaya Anti-Rasuah Bangladesh (ACC).
Siddiq, 42, yang bertanggungjawab terhadap usaha anti-rasuah di UK, didakwa terlibat dalam perjanjian bersama Rusia pada 2013 untuk pembinaan Loji Kuasa Nuklear Rooppur di Bangladesh.
Perjanjian itu dikatakan telah menaikkan kos projek sebanyak RM5.6 bilion (£1 bilion) dengan 30 peratus daripada jumlah tersebut disalurkan kepada Siddiq dan ahli keluarganya melalui jaringan syarikat luar negara.
Tuduhan itu turut melibatkan ibu saudara Siddiq, Sheikh Hasina, bekas Perdana Menteri Bangladesh yang digulingkan pada Ogos lalu.
Sheikh Hasina kini menghadapi pelbagai dakwaan jenayah termasuk “jenayah terhadap kemanusiaan” dan waran tangkap telah dikeluarkan terhadapnya serta 45 individu lain dalam kerajaannya.
Pejabat Perdana Menteri UK mengesahkan bahawa Perdana Menteri, Sir Keir Starmer masih yakin terhadap Siddiq, yang menafikan penglibatannya dalam dakwaan tersebut.
Siddiq juga memutuskan untuk mengundurkan diri daripada sebarang keputusan politik melibatkan Bangladesh.
Tuduhan ini berpunca daripada dakwaan Bobby Hajjaj, seorang ahli politik pembangkang Bangladesh, yang mendakwa Siddiq menjadi perantara bagi mesyuarat antara pegawai Bangladesh dan Rusia dalam projek bernilai RM56.2 (£10 bilion) itu.
Rakaman daripada 2013 juga menunjukkan Siddiq hadir dalam majlis menandatangani perjanjian itu antara Sheikh Hasina dan Presiden Rusia, Vladimir Putin, di Kremlin.
Bagaimanapun, sumber terdekat Siddiq menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai “bermotifkan politik” untuk mencemarkan nama baik keluarganya.
Parti Buruh turut menerima tekanan apabila ahli Parlimen Konservatif, Matt Vickers, mengkritik pentadbiran Starmer.
“Rakyat berhak tahu kebenaran. Skandal ini mencemarkan kepercayaan terhadap kerajaan,” katanya menurut laporan BBC.
Corak tuduhan rasuah terhadap pemimpin terdahulu di Bangladesh bukan perkara baharu.
Pemimpin seperti Khaleda Zia dan bekas Presiden Hussain Muhammad Ershad juga pernah menghadapi dakwaan serupa yang sering dianggap bermotifkan politik.
Sistem kehakiman Bangladesh turut dikritik kerana kurang bebas dan cenderung digunakan oleh kerajaan yang memerintah untuk menyasarkan lawan politik.
Namun, siasatan ACC terhadap kes itu masih berjalan dan setakat ini Siddiq belum dipanggil untuk memberikan keterangan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








