Bangladesh tuntut India hantar pulang Sheikh Hasina
NEW DELHI – Bangladesh kini mengambil langkah rasmi meminta India mengekstradisi bekas Perdana Menteri, Sheikh Hasina, dengan merujuk perjanjian ekstradisi dua hala yang mengikat kedua-dua negara, lapor Hindustan Times.
Bangladesh menegaskan, permohonan ekstradisi itu dibuat berasaskan peruntukan perjanjian yang menetapkan India perlu memulangkan Hasina ke tanah airnya.
Dalam kenyataan rasmi, Kementerian Luar Bangladesh meminta bekas pemimpin itu dihantar pulang setelah mahkamah di negara itu menjatuhkan hukuman mati terhadap Hasina atas jenayah terhadap kemanusiaan.
“Memberikan perlindungan kepada individu yang disabitkan jenayah terhadap kemanusiaan oleh mana-mana negara lain adalah tindakan yang bercanggah dengan prinsip keadilan,” demikian menurut surat kementerian berkenaan.
Kementerian itu merujuk keputusan Tribunal Jenayah Antarabangsa Bangladesh (ICT-BD) yang mendapati Hasina dan bekas Menteri Dalam Negeri, Asaduzzaman Khan Kamal, bersalah berhubung tindakan keras terhadap mahasiswa tahun lalu.
Turut disabitkan kesalahan ialah bekas Ketua Polis Negara, Chowdhury Abdullah Al-Mamun, atas tuduhan melakukan ‘jenayah terhadap kemanusiaan’.
Sepanjang 15 tahun pentadbiran Hasina, pelbagai dakwaan pelanggaran hak asasi manusia dikemukakan, termasuk penahanan dan pembunuhan tanpa proses undang-undang ke atas penentang politik.
Ketua Pendakwa Raya ICT, Mohammad Tajul Islam, berkata Hasina antara individu yang dipertanggungjawabkan dalam insiden pembunuhan beramai-ramai serta jenayah terhadap kemanusiaan yang berlaku dari Julai hingga Ogos tahun lalu.
Sejak melarikan diri, Hasina, 77, tidak lagi muncul di khalayak ramai dan kali terakhir dikesan berada di sebuah pangkalan udara tentera berhampiran New Delhi.
Kehadirannya di India terus mencetuskan kemarahan rakyat Bangladesh.
Sebelum ini, Dhaka sudah membatalkan pasport diplomatik Hasina, manakala perjanjian ekstradisi dua hala yang wujud antara kedua-dua negara membolehkan beliau dipulangkan untuk menghadapi prosiding jenayah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








