Teman wanita dakwa dipukul pelakon sudah tarik balik aduan – Polis
PETALING JAYA – Seorang wanita yang sebelum ini membuat laporan polis mendakwa dipukul teman lelakinya yang juga pelakon, sudah menarik balik aduannya, minggu lepas.
Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar yang mengesahkan perkara itu turut berkata, kertas siasatan kes itu sudah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk semakan.
“Mangsa ada membuat laporan menarik balik aduan pada minggu lalu.
“Kertas siasatan sudah diserahkan kepada DPP pada minggu lalu. Kita sedang menunggu arahan lanjut,” katanya, hari ini.
Menjelaskan sama ada kes berkenaan akan ditutup atau diselesaikan secara baik berikutan mangsa telah menarik balik aduan, beliau menambah perkara itu bergantung kepada arahan DPP yang akan diumumkan nanti.
Pada 7 Julai lalu, seorang wanita mendakwa dipukul teman lelakinya yang juga pelakon dalam kejadian di Ara Damansara, di sini.
Pada 10 Julai lalu, suspek yang berusia 37 tahun tampil kepada pihak polis bersama bapanya untuk proses rakam keterangan, namun tidak ditahan.
Polis dilaporkan turut merakam keterangan mangsa serta kakaknya untuk membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan, membawa hukuman penjara setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.