Berita SemasaSukan

Perancis failkan aduan lagu perkauman oleh pemain Argentina

PARIS – Persekutuan Bolasepak Perancis (FFF) memfailkan aduan undang-undang berhubung “ejekan perkauman dan diskriminasi” yang dilontarkan oleh pemain-pemain Argentina dalam nyanyian mereka yang didakwa ditujukan kepada pasukan Perancis ketika meraikan kejuaraan Copa America 2024.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh FFF, mereka memandang serius insiden yang mengejutkan tersebut, yang bertentangan dengan nilai-nilai sukan dan hak asasi manusia.

“Presiden Persekutuan Bola Sepak Perancis, Philippe Diallo, mengambil keputusan untuk menghubungi rakan sejawatannya dari Argentina dan FIFA secara langsung untuk memfailkan aduan undang-undang berhubung ejekan perkauman dan diskriminasi,” katanya dalam kenyataan rasmi.

Beliau turut mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan berunsur perkauman dan diskriminasi yang tidak boleh diterima terhadap pemain-pemain pasukan Perancis.

“Sebagai sebahagian daripada lagu yang dinyanyikan oleh pemain dan penyokong pasukan Argentina, kenyataan perkauman dan diskriminasi tersebut adalah tidak boleh diterima,” tambahnya.

Dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Amerika Syarikat hujung minggu lalu, Argentina berjaya menewaskan Colombia dengan keputusan 1-0.

Selepas kemenangan tersebut, pemain tengah Argentina, Enzo Fernandez membuat ‘live’ di Instagram yang menunjukkan pemain-pemain Argentina sedang menyanyi dengan ejekan yang menghina pemain-pemain Perancis yang mempunyai latar belakang Afrika.

Fernandez kemudiannya memohon maaf kerana turut serta dalam nyanyian tersebut.

Kejadian serupa tersebut pernah berlaku dalam pertemuan antara Perancis dan Argentina pada perlawanan akhir Piala Dunia dua tahun lalu yang dimenangi oleh Argentina, di mana ejekan yang sama dilontarkan oleh peminat-peminat Argentina.

Show More

Related Articles

Back to top button