IGP beri jaminan siasatan secara telus, adil kes bunuh Nur Farah Kartini
KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan akan menjalankan siasatan dengan telus dan adil berhubung kes kematian bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Nur Farah Kartini Abdullah.
Menurut Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain, PDRM tidak akan sekali-kali melindungi anggota polis yang ditahan reman membabitkan kes pembunuhan gadis malang berusia 25 tahun itu.
“Pendirian kami jelas. Pangkat atau kedudukan anda tidak penting.
“Anggota polis yang melakukan jenayah akan menghadapi keadilan atas apa yang mereka lakukan. Jangan harap kami akan melindungi perbuatannya,” katanya ketika dihubungi BH Online.
Mengulas mengenai penahanan seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal bagi membantu siasatan pembunuhan Nur Farah Kartini, Razarudin mengingatkan semua warga PDRM bahawa mereka mengangkat sumpah untuk berkhidmat kepada orang ramai dan menguatkuasakan undang-undang.
“Ingat sumpah ini dan ketahuilah bahawa kelakuan anda mewakili seluruh pasukan polis. Kami tidak akan membenarkan ‘nila setitik’ ini menjejaskan imej polis,” tegasnya.
Suspek berusia 26 tahun itu direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.
Suspek bertugas di Balai Polis Slim River, Perak sejak lima tahun lalu.
Terdahulu, Nur Farah Kartini yang bekerja sambilan di sebuah syarikat sewa kereta di Tanjung Malim dilaporkan hilang sejak 10 Julai lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan di kawasan perumahan di Tanjung Malim sekitar jam 8 pagi, hari terbabit.
Semalam, mayatnya ditemui dalam keadaan sudah mereput di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran FELDA Gedangsa di Hulu Selangor kira-kira jam 6 petang.