Berita Semasa

BUDI Individu akan diagihkan mulai Rabu ini

Bagi lebih 120,000 pemilik kenderaan diesel yang sudah memohon dan diluluskan setakat 30 Jun lalu

PUTRAJAYA – Bantuan tunai bagi pemilik kenderaan individu yang menggunakan diesel (BUDI Individu) akan disalurkan mulai Rabu ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, bantuan tunai itu melibatkan peruntukan sebanyak RM25 juta dan akan disalurkan kepada lebih 120,000 pemilik kenderaan diesel yang sudah memohon dan diluluskan setakat 30 Jun lalu.

“Kerajaan telah menyalurkan peruntukan bantuan hampir RM50 juta di bawah BUDI Individu untuk dua bulan pertama pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

“Penerima sedia ada ini telah disemak silang dengan data terkini oleh agensi kerajaan melalui Lesen Kenderaan Motor dan cukai jalan yang kekal aktif dan menepati syarat kelayakan BUDI Individu,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.

Tambahnya, pemilik kenderaan diesel yang baru memohon dan diluluskan dalam bulan ini, akan menerima bantuan itu mulai 7 Ogos depan.

“Kerajaan sentiasa komited untuk memastikan mereka yang layak untuk BUDI Individu menerima manfaat bantuan ini dengan kadar segera supaya pelaksanaannya berkesan untuk menampung impak kos sara hidup kepada semua lapisan masyarakat,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button