PMX

Kerajaan sedia bincang pinda Akta Lompat Parti – PM Anwar

PUTRAJAYA – Kerajaan menyatakan kesediaan untuk berbincang bagi meminda akta lompat parti susulan kelompangan yang terdapat dalam akta berkenaan, demikian kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Perdana Menteri, usul pindaan akta berkenaan pernah dikemukakan ketika Pakatan Harapan (PH) menjadi pembangkang, namun ia ditolak kerajaan pada masa itu.

“Dulu kita cadang supaya mana-mana yang ditolak oleh parti, tapi tidak disetujui oleh kerajaan pada masa itu.

“Sebab dia masa tu orang UMNO masuk parti dia, jadi bagi saya kalau nak pinda boleh, kita bincang supaya siapa sahaja. Dahulu pembangkang menentang, ramai tak tahu,” katanya yang juga Presiden PKR.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau An-Najah di sini, hari ini.

Kelmarin, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyelar tindakan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang tidak mengisytiharkan berlaku kekosongan kerusi untuk keenam-enam kerusi bekas ahli Bersatu.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, keputusan yang diberikan oleh Speaker tersebut adalah amat mengecewakan kerana dengan jelas bercanggah dengan peruntukan Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Pengerusi PH berkata, dalam usul yang pernah dikemukan PH tersebut, sesiapa yang ditolak oleh parti, secara automatik digugurkan sebagai Ahli Parlimen.

“Dia (Bersatu) tolak keras sampai kita bertolak ansur dan akhirnya jadi undang-undang sekarang. Jadi kalau dia nak pinda, kita boleh bincang, boleh pinda,” ujar Anwar yang juga Menteri Kewangan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button