Suami isteri pempengaruh, dua lagi direman empat hari
Bantu siasatan penyelewengan kutipan derma
PUTRAJAYA – Empat individu termasuk pasangan suami isteri pempengaruh terkenal hari ini dikenakan tahanan reman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan penyelewengan kutipan derma.
Dua lagi individu yang turut direman merupakan pengarah syarikat sebuah platform kutipan derma, kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Perintah reman tersebut dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin, hari ini.
Terdahulu, keempat-empat suspek tiba di Istana Kehakiman di sini pada kira-kira pukul 9.19 pagi tadi dengan menaiki kenderaan SPRM.
Untuk rekod, pasangan berkenaan ditahan pada kira-kira pukul 6.40 petang semalam, manakala dua pengarah syarikat berkenaan ditahan tengah malam tadi.
Sementara itu, menurut sumber, suspek yang merupakan pasangan suami isteri dipercayai menyeleweng kutipan derma yang tidak disalurkan dengan cara yang betul sejak 2020.
“Dianggarkan kutipan derma terbabit mencecah kira-kira RM3 juta dan siasatan masih diperingkat awal,” kata sumber tersebut.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.