BERITA SEMASAPMX

PM lulus peruntukan RM1 juta untuk Kompleks Pendidikan Al-Ummah di Chepor

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluluskan peruntukan bantuan awal sebanyak RM1 juta untuk pembangunan Kompleks Pendidikan Al-Ummah (KPU) di Chepor, Perak.

Beliau berkata, kompleks berkenaan meliputi pembinaan pra sekolah, Sekolah Rendah Islam Al Ummah dan Madrasah Al-Hikmah yang dijangka mampu menambung 2,200 pelajar.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun turut menzahirkan kekaguman dengan kejayaan KPU yang setakat ini telah berjaya mengumpul dana pembangunan projek berjumlah RM6 juta.

Beliau juga menegaskan pencapaian seumpama itu sepatutnya dijadikan contoh dalam pembangunan institusi keagamaan bersesuaian dengan ‘roh dan semangat’ ia adalah milik masyarakat.

“Semoga Allah SWT memberi ganjaran atas segala ikhtiar murni institusi kerakyatan ini dan memberi manfaat buat agama, bangsa dan negara.

“Pendidikan ini tuntutan kepada semua, maknanya kalau satu masjid didirikan hanya daripada peruntukan daripada (pihak) atas, ini tidak memenuhi semangat dan roh bahawa ia menjadi hak masyarakat.

“Untuk sekarang ini sebelum saya dapat teliti lagi, saya luluskan RM1 juta dulu. Minta setiausaha kerajaan negeri bantu mengingatkan Unit Penyelarasan Jabatan Perdana Menteri supaya menyegerakan dan dalam tempoh satu ke dua minggu wang itu harus sampai,” katanya ketika berucap pada Lawatan Muhibbah dan Majlis Hi-Tea di KPU Chepor.

Turut hadir Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri Mohd Azlan Helmi; Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Mohammad Nizar Jamaluddin dan Pengerusi KPU, Mohd Nasir Kamaruddin.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata, pembinaan KPU fasa satu telah dimulakan pada 2016 dengan kos keseluruhan dianggarkan bernilai RM35 juta.

Dalam majlis berasingan, perdana menteri turut meluluskan peruntukan khas RM72,000 kepada Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hwa Kanthan Baru, Chemor, ketika menghadiri majlis Pesta Makan Buah-Buahan di sekolah tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button