Berita Semasa

TNG Digital lancar e-Mas, produk pelaburan emas digital

KUALA LUMPUR – TNG Digital Sdn Bhd (TNG Digital) hari ini telah melancarkan e-Mas iaitu produk pelaburan emas digital yang kini tersedia dalam aplikasi TNG eWallet.

Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital, Alan Ni berkata, produk itu menawarkan pengguna cara yang selamat dan mudah untuk mempelbagaikan portfolio pelaburan mereka.

“Dengan pelancaran e-Mas, kami meluaskan rangkaian produk pelaburan kami dalam TNG eWallet sebagai sebahagian daripada usaha kami untuk menerajui pemerkasaan kewangan dan kebolehcapaian untuk rakyat Malaysia.

“Dikuasakan oleh CIMB Bank Berhad sebagai pembekal kecairan, pengguna boleh melabur dalam emas melalui TNG eWallet selain mempelbagaikan portfolio pelaburan dengan jumlah kemasukan serendah RM10 tanpa sebarang kos tambahan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Pelancaran E-Mas oleh TNG Wallet dan CIMB Bank yang diadakan di Hotel Hilton, di sini hari ini.

Majlis pelancaran yang dirasmikan Menteri Digital, Gobind Singh Deo itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Bersama, Perbankan Borong CIMB Group, Chu Kok Wei dan Ketua Pegawai Perkhidmatan Kewangan TNG Digital, Desmond Teoh.

Tambah beliau, produk berkenaan direka bentuk untuk menawarkan pengalaman pelaburan yang unggul dengan perjalanan digital hujung ke hujung (end-to-end) yang lancar.

Dalam pada itu, beliau juga berkata pengguna boleh memantau perkembangan harga emas secara langsung dan menguruskan pelaburan mereka terus daripada eWallet.

“Kami menyasarkan 500,000 pelanggan menjelang hujung tahun ini, memandangkan 40,000 orang sudah pun mula melanggan sejak pra pelancaran produk ini,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button