Jenayah & Mahkamah

Gambar didakwa keadaan jenazah Allahyarham Zayn Rayyan tersebar

CYBERJAYA – Gambar proses post mortem yang didakwa keadaan jenazah kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin mula tersebar di media sosial sejak malam tadi.

Dua gambar berkenaan dimuat naik di aplikasi Telegram oleh pengendali akaun yang sebelum ini turut memuat naik laporan didakwa kertas siasatan pembunuhan kanak-kanak tersebut.

Untuk rekod, Allahyarham Zayn ditemukan pada 6 Disember lalu dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman di Damansara Damai dekat sini, selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

Allahyarham dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya.

Setakat berita ini ditulis, ini, kedua-dua gambar tersebut masih berada di paparan akaun tersebut.

Sebelum ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah diminta bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung dakwaan penularan kertas siasatan kes berkenaan.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, sekiranya ia kertas siasatan yang benar, pihak yang menyebarkannya perlu diambil tindakan berikutan kes berkenaan akan dibicarakan di mahkamah.

“Tindakan pihak-pihak tertentu memasukkan perkara seperti ini (kertas siasatan) dalam Telegram umpamanya, tidak diketahui sama ada maklumat itu (kertas siasatan) betul atau tidak, sama ada direka atau dibuat-buat,” katanya.

Kedua-dua ibu bapa Allahyarham, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf telah dituduh di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 13 Jun lalu atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak berkenaan dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka tidak mengaku salah dan memohon dibicarakan.

Kedua-dua mereka kemudiannya diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap seorang.

Mahkamah turut menetapkan tarikh sebutan kes adalah pada 26 Julai 2024.

Show More

Related Articles

Back to top button