Berita SemasaSukan

Piala FA: JDT menang besar dalam suku akhir pertama benam MUFT

JOHOR BAHRU – Juara Liga Super 10 kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) membenam pendatang daripada Liga A1 Semi Pro, Malaysian University Football Team (MUFT), sekaligus memiliki kelebihan jaringan 5-0 dalam suku akhir pertama piala FA sebentar tadi.

JDT mendominasi perlawanan dengan garang apabila memperoleh jaringan seawal minit ke-2 permainan.

Pertahanan kiri JDT, Corbin Ong, berjaya menyudahkan hantaran yang dilakukan oleh pertahanan kanan JDT, Syahmi Safari untuk menjadikan kedudukan 1-0.

Serangan bertali arus JDT menyaksikan pemain gantian, Francisco Geraldes menambah derita pasukan MUFT apabila menyumbat dua gol penting.

Pemain sensasi baharu JDT, Geraldes mempamerkan aksi menarik sehingga mengelirukan penjaga gol MUFT, Ashraf Fadil, di Stadium Sultan Ibrahim.

Kemudian pertahanan tengah, Shahrul Saad menjaringkan gol keempat JDT apabila menanduk kemas hantaran daripada sepakan penjuru menjadikan kedudukan selesa 4-0.

Pemain penyerang kebangsaan, Romel Morales akhirnya melengkapkan kemenangan bergaya apabila menyumbat jaringan kelima JDT.

Kemenangan itu meletakkan JDT mempunyai bekalan besar untuk perlawanan timbal balik seterusnya.

Dengan keputusan tersebut, JDT dijangka akan meneruskan dominasi mereka dalam Piala FA dan memburu kejuaraan seterusnya.

Show More

Related Articles

Back to top button