Berita Semasa

Tiga empangan di Johor buat pelepasan air cegah banjir

BANGI – Tiga empangan di Johor melakukan lepasan air secara terkawal ekoran hujan lebat di beberapa kawasan tadahan air bagi mengelak banjir lebih buruk.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berkata, tiga empangan yang telibat dalam pelepasan air itu adalah Empangan Bekok, Empangan Sembrong dan Empangan Machap.

Katanya, pelepasan air empangan itu dibuat mengikut tatacara prosedur operasi standard (SOP) operasi empangan.

“Limpahan air empangan melalui struktur alur limpah akan berlaku apabila aras takungan empangan melepasi aras tertinggi. Limpahan air ini merupakan mekanisme yang direka bentuk untuk menjaga integriti dan keutuhan empangan.

“Buat masa ini sebanyak 15 buah pam bergerak sedang beroperasi di kawasan-kawasan kritikal di Batu Pahat, Pontian dan Tangkak. 10 buah pam bergerak dengan kapasiti 10cusec lengkap dengan genset telah tersedia untuk dihantar ke Johor sebagai pam tambahan.

“Operasi pam bergerak ini merupakan tambahan kepada sistem saliran dan pam sedia ada bagi mempercepatkan aliran air banjir untuk mengurangkan kedalaman banjir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

JPS turut mengingatkan orang awam supaya sentiasa bersiapsiaga dan mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pusat kawalan operasi bencana di daerah dan negeri terlibat.

Show More

Related Articles

Back to top button