Berita SemasaSukan

Ke mana Kiernan Dewsbury-Hall selepas Leicester City?

LONDON – Kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea telah menghubungi Leicester City untuk menyatakan minat terhadap pemain tengah sensasi mereka, Kiernan Dewsbury-Hall.

Menurut sumber, pemain berusia 25 tahun itu dilihat sebagai prospek masa depan EPL yang telah menarik perhatian beberapa kelab besar, termasuk pasukan Brighton dan Chelsea.

Namun, Chelsea kini berada di hadapan dalam perlumbaan mendapatkan tandatangannya.

Walaupun tiada tawaran rasmi dibuat setakat ini, sumber menyatakan Dewsbury-Hall hanya akan mempertimbangkan perpindahan ke Chelsea jika dia memutuskan untuk meninggalkan Leicester City.

Dalam pada itu, pemain tengah berbakat tersebut masih mempunyai kontrak yang sah sehingga 2027 bersama Leicester City.

Tambahnya, Dewsbury-Hall adalah produk akademi Leicester City yang telah menjadi tonggak penting dalam pasukan sejak beberapa musim sehingga membawa kelabnya menjuarai EFL Championship musim lalu.

Kebolehannya untuk mengawal bahagian tengah padang dan memberi sokongan dalam serangan menjadikannya pemain yang sangat dihargai oleh penyokong dan pengurus.

Chelsea yang baru sahaja melantik Enzo Maresca sebagai ketua jurulatih baharu menggantikan Mauricio Pochettino dilapor sangat berminat untuk memperkukuhkan pasukan mereka dengan pemain-pemain berkualiti.

Maresca yang terkenal dengan gaya permainan menyerang dan dinamik dipercayai melihat Dewsbury-Hall sebagai tambahan yang sesuai untuk visi taktikalnya.

Dengan jendela perpindahan masih terbuka, masa akan menentukan sama ada Dewsbury-Hall akan menjadi pemain Chelsea seterusnya atau terus kekal di Leicester City.

Show More

Related Articles

Back to top button