Berita Semasa

CEO baharu DNB masih belum diputuskan- Gobind

SUBANG JAYA – Menteri Digital, Gobind Singh Deo memaklumkan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Digital Nasional Bhd (DNB) yang baharu masih belum diputuskan.

Menurut Gobind, perkembangan terkini menyaksikan perjanjian langganan saham (SSA) telah ditandatangani oleh pihak tertentu minggu lalu.

Jelasnya, sejurus SSA tersebut selesai, ahli lembaga pengarah serta pemegang saham yang baharu akan bermesyuarat bagi menentukan hala tuju DNB.

“21 Jun lalu ada perjanjian SSA yang telah ditandatangani dan perlu dilengkapkan oleh beberapa pihak yang tertentu mereka ada tujuh hari untuk lengkapkan, maknanya akhir minggu ini.

“Selepas daripada itu, pengarah-pengarah baharu dan pemegang saham baharu akan bermesyuarat untuk buat keputusan apa hala tuju mereka untuk bergerak ke hadapan.

“Maka, dalam perbincangan itu siapa yang menjadi CEO dan siapa yang akan mengetuai DNB akan diputuskan tetapi perkara itu masih belum lagi kerana proses perjanjian itu masih berjalan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis pelancaran aplikasi e-dompet MYDINPay di Mydin cawangan Subang Jaya hari ini.

Terdahulu, DNB mengesahkan kesemua syarat terdahulu yang terkandung di bawah SSA berjaya dipenuhi pada 20 Jun lalu.

DNB berkata, ini merupakan pencapaian penting mengenai SSA dengan empat pengendali rangkaian mudah alih (MNO) di Malaysia iaitu CelcomDigi Bhd melalui Infranation Sdn Bhd, Maxis Broadband Sdn Bhd, U Mobile Sdn Bhd, dan YTL Communications Sdn Bhd melalui YTL Power International Bhd.

Menerusi terma SSA, MNO dijangka secara kolektif memperoleh 70 peratus pegangan ekuiti dalam DNB, dengan setiap MNO memegang 14 peratus kepentingan.

Kerajaan Malaysia, yang diwakili oleh MoF Inc., akan mengekalkan 30 peratus kepentingan dan Saham Khas dalam DNB untuk tempoh yang ditetapkan.

Show More

Related Articles

Back to top button