Berita SemasaBisnes & Ekonomi

Jualan diesel komersial meningkat selepas harga tanpa subsidi

KUALA LUMPUR – Jualan minyak diesel komersial meningkat sebanyak 4 juta liter sehari manakala jualan runcit diesel di stesen minyak pula menurun sebanyak 8 juta liter sehari selepas penetapan semula harga bahan api itu.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, perkara itu jelas menunjukkan sebahagian daripada peruntukan subsidi diesel selama ini telah digunakan oleh sektor industri.

“Sedangkan untuk penggunaan komersial, mereka sepatutnya membeli diesel pada harga pasaran.

“Maklumat yang diterima dari salah satu stesen minyak di kawasan sempadan pula mendedahkan berlaku penurunan jualan sehingga 40 peratus.

“Ini jelas menunjukkan aktiviti penyeludupan diesel dari negara ini ke luar negara memang wujud,” katanya pada Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pengapungan harga diesel tidak bermaksud kerajaan memansuhkan sepenuhnya subsidi ke atas bahan bakar itu, memandangkan ketika ini, kerajaan masih menanggung subsidi diesel sehingga RM10 bilion, menurun berbanding RM14 bilion tahun lalu, sekaligus menyaksikan penjimatan RM4 bilion setahun.

Dalam pada itu katanya, kerajaan telah mengarahkan tindakan semua pihak berkuasa bagi menangani kegiatan penyeludupan yang masih ada.

Pasukan petugas melibatkan Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Show More

Related Articles

Back to top button