Berita Semasa

Syarikat mohon fleet card di bawah SKDS diberi kelulusan segera – Armizan

SHAH ALAM – Mana-mana syarikat yang membuat permohonan lengkap bagi mendapatkan fleet card di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) yang meliputi 33 jenis pengangkutan darat awam dan barangan, akan diberi kelulusan segera.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sehubungan itu syarikat yang berkenaan dinasihatkan supaya segera membuat permohonan tersebut.

Jelasnya, proses permohonan adalah mudah dan cepat kerana syarikat hanya perlu mengisi maklumat terhad dan pengesahan boleh dibuat segera melalui integrasi dengan sistem Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Permohonan tersebut boleh dibuat melalui pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my/ dan surat kelulusan akan dikeluarkan serta-merta untuk membolehkan syarikat pengangkutan yang berjaya terus membuat permohonan fleet card kepada syarikat-syarikat minyak pilihan melalui sistem sama.

“Kelulusan yang diperoleh sehingga 30 Jun 2024 membolehkan syarikat pengangkutan memohon bayaran tuntutan balik kadar perbelanjaan atas harga subsidi melalui bukti resit pembelian sehingga syarikat pengangkutan menerima fleet card daripada syarikat-syarikat minyak pilihan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Armizan turut mengingatkan semua syarikat supaya tidak menyalahgunakan fleet card bagi tujuan selain daripada syarat kelayakan permohonan kenderaan yang telah diluluskan.

Jelas beliau, tindakan tegas akan diambil termasuk menarik balik kelulusan fleet card kenderaan terbabit jika kemudahan itu disalahgunakan.

“Setakat jam 8 pagi hari ini, jumlah keseluruhan kenderaan pengangkutan awam dan barangan yang diluluskan subsidi diesel di bawah SKDS ialah sebanyak 226,957 melibatkan 75,541 syarikat.

“KPDN juga sedang menyelaraskan rayuan-rayuan sektor pengangkutan tertentu yang ingin menyertai SKDS untuk dibawa kepada Jawatankuasa Rayuan yang melibatkan pelbagai kementerian dan agensi dan seterusnya diangkat untuk pertimbangan Mesyuarat Jemaah Menteri,” katanya lagi.

Pad masa yang sama, kata Armizan lagi, pihaknya turut menegaskan supaya semua peniaga terutama mereka yang menerima kemudahan subsidi diesel tidak menaikkan harga dengan memberikan alasan penetapan harga diesel baharu sebagai punca kenaikan harga barangan atau perkhidmatan mereka.

Tambahnya, kementeriannya telah menggerakkan semua kekuatan anggota penguat kuasa dan pegawai pemantau harga di seluruh negara untuk terus memantau harga barang atau perkhidmatan di semua peringkat rantaian.

“Sekiranya didapati berlaku aktiviti pencatutan,maka KPDN akan mengambil tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button