Ahli Parlimen Kluang dilantik sebagai Pengerusi TalentCorp baharu
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Talent Corporation Malaysia Bhd (TalentCorp) yang baharu berkuat kuasa hari ini.
Wong merupakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen dan menganggotai lembaga pemikir Research for Social Advancement (Refsa).
Pengumuman mengenai pelantikan Pengerusi, Timbalan Pengerusi serta Ahli Lembaga Pengarah TalentCorp itu dibuat oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Steven Sim, barisan ahli lembaga pengarah yang baharu dilantik itu akan membawa perspektif baharu dan strategi yang inovatif untuk membangunkan ekosistem bakat Malaysia melalui inisiatif-inisiatif TalentCorp.
“Pelantikan ini mencerminkan kepentingan berterusan TalentCorp sebagai badan pemikir strategik KESUMA, yang berdedikasi untuk menarik, memupuk, dan mengekalkan bakat Malaysia untuk terus maju dalam landskap yang berkembang pesat kerana tuntutan Masa Depan Kerja dan peningkatan globalisasi,” katanya.
Sementara itu, Mohd Khuzzan Abu Bakar pula dilantik sebagai Timbalan Pengerusi TalentCorp yang baharu.
Mohd Khuzzan telah berkhidmat dengan Bank Mualamat Malaysia selama lebih 14 tahun dan pernah menjawat jawatan ahli Dewan Undangan Negeri Johor dari 2018 hingga 2022.
Sebagai rekod, sejak penubuhannya pada tahun 2011 hingga kini, TalentCorp telah bekerjasama rapat dengan rakan kongsi strategik dalam sektor awam dan swasta untuk memperkasa sumber paling berharga negara, yakni rakyat Malaysia sendiri.
“Usaha ini dilakukan melalui inisiatif yang menyasarkan kumpulan bakat utama, iaitu Rakyat Malaysia di dalam Negara yang memberi fokus kepada graduan dan bakat wanita; Rakyat Malaysia di luar negara, sama ada golongan profesional mahupun pelajar; serta bakat ekspatriat yang menyumbang secara bermakna di Negara ini.
“Di bawah pengawasan Ahli Lembaga Pengarah baharu dan bimbingan barisan kempimpinan utamanya, TalentCorp komited untuk meneruskan usaha dalam menyokong serta membangunkan bakat merentasi semua peringkat kemahiran dan menyumbang ke arah mencapai matlamat Malaysia untuk menjadi destinasi pilihan untuk bakat global terkemuka,” kata TalentCorp dalam satu kenyataan hari ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








