PMX

Kerajaan komited pacu negara sebagai Pusat Data AI Lestari Asia Tenggara

PUTRAJAYA – Kerajaan komited untuk memacu negara sebagai destinasi Pusat Data Kecerdasan Buatan (AI) Lestari di rantau Asia Tenggara, demikian kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Anwar yang telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) Bilangan 4 Tahun 2024 hari ini, bagi tempoh 2021-2023, Malaysia telah meluluskan pelaburan di dalam pusat data dan perkhidmatan awan (cloud service) berjumlah RM114.7 bilion.

Hasilnya, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, sebanyak 2,325 peluang pekerjaan baharu bernilai tinggi dalam bidang kepakaran khusus seperti saintis data, penganalisis data, jurutera data, penganalisis keselamatan siber dan jurutera rangkaian.

“Dalam mesyuarat ini, saya tekankan pendekatan keseluruhan kerajaan dalam usaha berterusan menggalakkan pelaburan dalam sektor pusat data berteraskan AI. Ini terutamanya bagi meningkatkan limpahan ekonomi melalui pendigitalan serta kompleksiti ekonomi pelbagai sektor di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook milik beliau hari ini.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata,
MPN hari ini bersetuju supaya Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menambah baik kerangka insentif semasa, melalui mekanisme penggunaan peralatan cekap tenaga dan air.

Katanya, MITI akan bekerjasama dengan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam penyediaan tenaga boleh baharu yang mencukupi bagi kegunaan pusat data AI.

“Kerangka tersebut juga akan merangkumi padanan pemain pusat data dengan syarikat tempatan bagi tujuan pembangunan vendor tempatan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta kerjasama antara industri dan akademia bagi memupuk inovasi dalam pembangunan peralatan cekap tenaga dan perisian,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button