Warga India mengaku tidak bersalah tunjuk kemaluan dalam lif
AMPANG – Seorang buruh binaan warga India didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini kerana menunjukkan kemaluan kepada remaja perempuan berusia 14 tahun dalam lif, dua minggu lalu.
Sewa Singh, 26, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin.
Mengikut pertuduhan, Sewa didakwa menghina kesopanan dengan menunjukkan kemaluan kepada remaja itu di lif tingkat satu sebuah pangsapuri di sini, jam 12 tengah hari pada 16 Mei lalu, mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Susulan pengakuan tidak bersalah itu, Timbalan Pendakwa Raya, Norhashimah Hashim, mencadangkan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh.
“Syarat tambahan melaporkan diri di balai polis, serahan pasport dan tidak ganggu mangsa kes terbabit,” katanya memetik Buletin TV3.
Bagaimanapun, peguam bela Sewa, Tarlochan Singh, memohon jaminan serendah RM2,500 kepada anak guam.
“Tertuduh bekerja secara sah dan sudah tinggal di Malaysia selama empat tahun, selain majikannya akan menjadi penjamin untuk memastikan kehadiran anak guam ke mahkamah,” katanya.
Hakim kemudian membenarkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti dimohon pihak pendakwaan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 12 September ini.