Umat Islam tidak boleh berdoa di tempat tidak sepatutnya
GEORGE TOWN – Umat Islam dinasihatkan supaya lebih sensitif dan menjaga kesucian agama Islam dengan tidak berdoa di tempat yang tidak sepatutnya.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, umat Islam sepatutnya memilih tempat yang baik untuk berdoa dan menjauhi tempat yang boleh menimbulkan pertikaian.
“Umat Islam perlu mengelak daripada berdoa di tempat yang tidak sesuai seperti di tepi tandas, di bawah tangga dan untuk majlis-majlis yang bertentangan dengan ajaran Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai video yang tular memaparkan wakil pelbagai agama membacakan doa di tapak perkuburan bukan Islam di Sungai Buloh, semalam.
Tindakan seorang individu beragama Islam yang membacakan doa di lokasi yang sama bersama beberapa orang dipercayai sami mendapat kecaman warga maya.
Wan Salim bagaimanapun berkata, umat Islam dibenarkan berdoa bagi perpaduan dan kesejahteraan semua kaum dan agama.
“Misalnya kita dibenarkan mendoakan mereka diberikan kesihatan dan hidayah tetapi tidak boleh kita berdoa kepada orang kafir yang sudah mati,” katanya.