Berita Semasa

Kaedah bayaran cukai beramaun tinggi boleh dilakukan secara FPX, atas talian

CYBERJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah melaksanakan penambahbaikan bagi proses penerimaan bayaran cukai beramaun tinggi bagi kategori pembayar cukai syarikat dan selain syarikat.

Menurutnya, kaedah bayaran cukai beramaun tinggi itu adalah melalui FPX atau Pindahan Telegrafik (TT)/ Pindahan Dana Elektronik (EFT)/Pindahan Dana Antara Bank (IBG)/RENTAS/DUITNOW.

“Mulai 1 Jun 2023, had amaun setiap transaksi bayaran bagi perkhidmatan FPX di Portal Rasmi LHDN (ByrHASiL) adalah RM500,000 bagi individu dan RM100 juta bagi korporat atau perniagaan.

“Kaedah bayaran menerusi FPX boleh dilakukan di ByrHASiL,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, had transaksi bayaran melalui FPX itu juga bergantung kepada had pengeluaran maksimum yang telah ditetapkan oleh pemilik akaun atau bank berkaitan.

“Sebagai contoh, walaupun had transaksi bagi individu menerusi FPX di ByrHASiL adalah sebanyak RM500,000, tetapi had pengeluaran maksimum akaun bank pembayar cukai ditetapkan sebanyak RM50,000.

“Pembayar cukai perlu berurusan dengan bank bagi peningkatan had transaksi berkenaan,” jelasnya.

Dalam pada itu, pembayar cukai yang ingin membuat bayaran cukai menerusi kaedah TT/EFT dan IBG/RENTAS/DUITNOW perlu mengakses Sistem e-TT yang boleh dicapai di Portal MyTax pada bahagian ‘Perkhidmatan ezHasil’.

Seterusnya, pengisian maklumat bayaran perlu dilengkapkan sebelum menerima Nombor Virtual Account (VA) yang akan digunakan sebagai nombor akaun bayaran semasa melakukan bayaran.

Sistem e-TT telah diperkenalkan bermula 1 April 2022 bagi bayaran Cukai Pendapatan, Cukai Pendapatan Petroleum, Bayaran Kompaun dan Cukai Pegangan melalui kaedah TT/EFT dan IBG/RENTAS/DUITNOW dari dalam dan luar negara.

Pembayaran cukai menerusi medium TT, EFT dan IBG/RENTAS/DUITNOW dengan menggunakan Nombor VA boleh dilaksanakan menerusi Perbankan internet, Kaunter Bank atau Mesin Juruwang Automatik yang menggunakan modul IBG.

Selain itu, pembayar cukai individu yang ingin melakukan pembayaran cukai melebihi RM500,000 diberi dua pilihan.

Pertama, melakukan dua transaksi bayaran iaitu RM500,000 setiap transaksi menerusi kaedah FPX, kedua, melakukan bayaran dengan menggunakan Nombor VA melalui kaedah Pindahan Telegrafik di portal perbankan elektronik atau Kaunter Bank.

Sementara itu, orang ramai boleh mendapatkan keterangan lanjut berhubung maklumat bayaran di pautan www.hasil.gov.my atau di talian 03-89111000/ 603-89111000 (Luar Negara).

Show More

Related Articles

Back to top button