UMNO ucap tahniah atas kemenangan calon PH di PRK Kuala Kubu Bharu
KUALA LUMPUR – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengucapkan tahniah kepada calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao yang berjaya mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang berlangsung hari ini.
“Tahniah diucapkan kepada Sock Tao, calon PH yang mewakili Kerajaan Perpaduan kerana telah dipilih menjadi wakil rakyat DUN Kuala Kubu Bharu,” katanya dalam satu hantara dalam laman X miliknya.
Dalam pada itu beliau juga mengucapkan terima kasih kepada jentera UMNO dari seluruh negara, khususnya UMNO Bahagian Hulu Selangor, yang telah bertungkus lumus membantu memenangkan calon daripada Kerajaan Perpaduan.
Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, turut mengucapkan tahniah atas kemenangan itu
“Tahniah Parti PH mewakili Kerajaan Perpaduan Malaysia memenangi PRK Kuala Kubu Baharu dengan majoriti besar 3,869 undi,” katanya menerusi hantaran Facebook, sebentar tadi.
Keputusan tidak rasmi PRK DUN Kuala Kubu Bharu setakat jam 8 malam menyaksikan PH meraih 11,818 undi, PN (8,303 undi); Bebas (159) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) 129 undi.
PRK ini menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon PH Pang Sock Tao, Khairul Azhari Saut (PN), Hafizah Zainudin (PRM) dan Nyau Ke Xin (bebas).