
KBS beri tumpuan penglibatan sukan peringkat akar umbi
PUTRAJAYA – Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) terus komited dalam tumpuan memupuk minat dan penglibatan sukan di peringkat akar umbi untuk melahirkan kumpulan pelapis sukan negara.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, langkah tersebut juga sebahagian daripada objektif utama untuk mewujudkan peluang penglibatan kepada semua rakyat tanpa mengira umur atau latar belakang.
“KBS berdedikasi untuk memupuk sukan dari peringkat akar umbi hingga sukan elit,” katanya dalam hantaran laman sosial beliau.
Hannah berkata demikian susulan lawatan kerja ke Tanah Rata, Cameron Highlands bersama Ahli Parlimennya, Datuk Ramli Mohd Nor.
Katanya, pada lawatan itu beliau sempat bertemu dengan sekumpulan perenang muda yang mewakili negeri Pahang dalam kejohanan peringkat kebangsaan.
Menariknya kata beliau, walaupun hanya berlatih di kolam renang ‘tumpang’ di sebuah resort, anak-anak muda di kawasan itu telah membuktikan mereka mampu berjaya dalam banyak kejohanan.

“Walaupun menghadapi sumber yang terhad dan terpaksa berlatih di kolam renang di Strawberry Park Resort yang disediakan secara percuma, mereka berjaya memenangi pelbagai pingat di pelbagai peringkat kejohanan,” katanya.
Sehubungan itu beliau menegaskan KBS akan bekerjasama dengan Datuk Ramli untuk mencari tanah yang sesuai bagi pembinaan kolam renang di parlimen itu.
Selain itu Hannah turut meninjau cadangan menaik taraf padang awam Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) untuk membangunkan kemudahan trek dan padang.
“Peningkatan ini diharapkan dapat menyediakan kemudahan yang lebih baik untuk atlet, sekolah tempatan dan komuniti yang lebih luas,” katanya.
Pada kunjungan itu, beliau turut melawat gimnasium komuniti yang menerima peruntukan naik taraf dari KBS sebanyak RM50,000 sebelum ini.

Hannah juga mengambil peluang berjumpa dengan belia orang asli yang menunjukkan minat dalam sukan seperti futsal dan sepak takraw.
“Saya juga bertemu dengan pemain bola keranjang tempatan yang kebanyakannya menghabiskan waktu selepas kerja bermain bola keranjang dan menganjurkan kejohanan tempatan untuk komuniti,” katanya lagi.
Dalam pada itu, lawatan kerja itu diakhiri dengan mengadakan klinik bola sepak untuk 160 kanak-kanak dari komuniti tempatan dan orang asli.

| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















