Berita SemasaPM X

Imej Malaysia tercemar akibat kleptokrat – PM Anwar

PUTRAJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan imej Malaysia di mata dunia telah tercemar disebabkan ramai pemimpin yang terpalit dengan gejala rasuah.

Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, masalah kleptokrasi yang wujud di Malaysia adalah merupakan sebuah sistem melibatkan ramai pihak yang telah dan belum didakwa.

“Saya tidak mahu menujukan kepada sesiapa tetapi seperti yang saya sebut negara ini memang sudah tercemar. Satu dunia tahu Malaysia tercemar.

“Masalahnya sistemik, sebab bukan satu orang atau dalam politik dia sebut ‘satu kleptokrat’ itu tak betul. Ramai yang terlibat, ada yang sudah disiasat, belum disiasat, sudah didakwa dan belum didakwa,” katanya pada Majlis Perhimpunan Bulanan Warga Kementerian Kewangan, di sini, hari ini.

Tambah Ahli Parlimen Tambun itu, ahli politik tidak perlu melaungkan soal ‘kebersihan’ melainkan dapat menunjukkan rekod prestasi baik.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, amalan dan budaya lampau meluluskan projek tanpa menepati peraturan tidak boleh lagi diteruskan.

“Setakat ini saya bersyukur Alhamdulillah kerana pimpinan Kementerian Kewangan untuk tegas dalam hal ini kerana ini tradisi dan budaya kita di sini, cuma kalau ada ‘fatwa’ daripada atas itu kita tidak banyak pilihan.

“Memang selama ini kita dapat kesan beberapa ‘kerosakan’ ia berpunca daripada arahan pihak atasan. Jemaah Menteri tetah menetapkan amalan dan budaya lampau tersebut tidak boleh diteruskan.

“Sekarang ini terserah kepada ketua pengarah, ketua bahagian, pimpinan kementerian untuk memastikan hal ini tidak berlaku di semua peringkat,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button