Piala Thomas: Leong Jun Hao akui strategi permainan tidak menjadi
CHENGDU – Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao mengakui usahanya untuk mengubah strategi permainan kepada lebih agresif tidak memberikan hasil yang diinginkan.
Jun Hao berkata, beliau cuba mengubah corak permainan kepada lebih agresif dalam set kedua tetapi tidak menjadi sehingga tewas mudah kepada pemain perseorangan China, Li Shi Feng, dalam aksi separuh akhir Piala Thomas, malam tadi.
“Saya sudah tertinggal dalam set pertama, jadi saya mahu bermain dengan lebih agresif dan menyerang dalam set kedua.
“Tetapi percubaan itu lebih tidak menjadi,” katanya kepada pemberita.
Dalam pada itu, pada aksi separuh akhir Piala Thomas yang berlangsung malam tadi, Malaysia gagal mengakhiri kemarau sepuluh tahun untuk ke pusingan akhir selepas tewas 1-3 kepada China.
Perlawanan dimulakan dengan Lee Zii Jia, pemain perseorangan lelaki utama negara, gagal menyumbang mata pertama selepas tewas 19-21, 5-21 kepada Shi Yu Qi, yang berada pada ranking nombor dua dunia.
Namun, beregu utama Malaysia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, mengembalikan semangat kepada pasukan negara dengan kemenangan dramatik 15-21, 21-12, 21-17 ke atas Liang Wei Keng-Wang Chang untuk menyamakan kedudukan 1-1.
Pada perlawanan ketiga, Leong Jun Hao tidak dapat mencipta kejutan apabila Li Shi Feng menewaskan Jun Hao dalam dua set 17-21, 10-21 untuk memberi kelebihan kepada China dengan keputusan 2-1.
Perlawanan penentuan ditentukan oleh beregu kedua Malaysia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, tewas dalam aksi sengit 21-18, 19-21, 12-21 kepada He Ji Ting-Ren Xiang Yu untuk menyempurnakan kemenangan 3-1 kepada China.
Sehubungan itu, Malaysia gagal melangkah ke peringkat akhir Piala Thomas sejak kali terakhir edisi 2014 di New Delhi.
Sementara itu, China akan berdepan dengan Indonesia dalam perlawanan akhir Piala Thomas 2024 hari ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








