JENAYAH & MAHKAMAH

Polis buru dua individu disyaki samun Akhyar

KUALA TERENGGANU – Pihak polis sedang mengesan dua individu dipercayai terlibat menyamun pemain pasukan Terengganu FC (TFC), Akhyar Rashid, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, dalam kejadian itu, Akhyar,25, turut mengalami pendarahan di kepala selepas terdapat koyakan sepanjang empat sentimeter.

Susulan kejadian, Akhyar difahamkan menerima empat jahitan di kepala, dua jahitan di kaki kiri dan mengalami bengkak di lengan kiri.

Dalam kejadian pada kira-kira pukul 8.30 malam itu, mangsa yang juga pemain bola sepak kebangsaan baru tiba di kawasan kediamannya selepas selesai sesi latihan bola sepak di stadium di Gong Badak, Kuala Nerus.

Kata Azli, kejadian dipercayai bermotifkan samun dan mangsa dipercayai diserang suspek yang tidak dikenali sebaik tiba di lokasi kejadian.

“Dalam kejadian itu, suspek yang memakai ‘mask’ dan menutup kepala dengan baju hoodie itu juga dipercayai memukul mangsa menggunakan besi yang boleh laras.

“Suspek kemudian mengambil beg duit mangsa yang disimpan dalam beg bimbit dipegang oleh mangsa sebelum beredar dari lokasi kejadian menaiki sebuah kenderaan,” katanya.

“Kejadian menyebabkan mangsa menanggung kerugian hampir RM5,000 dan setakat ini, kita percaya kejadian bermotifkan samun.

“Usaha mengesan dua lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian ini giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun keseksaan kerana melakukan samun sehingga menyebabkan kecederaan,” katanya.

Berdasarkan video yang tersebar di media sosial termasuk Facebook dan WhatsApp semalam, pemain kelahiran Kedah itu dikatakan sedang berada di sebuah pusat perubatan untuk mendapatkan rawatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button