
[VIDEO] PM Anwar yakin dasar kerajaan naikkan gaji penjawat awam akan diluluskan di Parlimen
Dijangka dibentangkan ketika Belanjawan 2025 dibacakan pada Oktober nanti
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin keputusan dasar kerajaan untuk menaikkan gaji penjawat awam akan diluluskan apabila dibentangkan di Parlimen nanti.
Beliau berkata, keyakinan itu adalah berdasarkan sokongan yang diterima daripada Ahli Parlimen termasuk ketua-ketua parti politik.
@malaysiatribune Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin keputusan kerajaan naikkan gaji oenjawat awam akan disoking Ahli Parlimen apabila ia dibentangkan kelak. #malaysiatribune
Jelasnya, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden UMNO memberi sokongan kepada keputusan berkenaan.
Turut menyokong ialah Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
“Ini sudah cukup majoriti, saudara-saudara jangan bimbang insya Allah Parlimen akan lulus bergaya keputusan kita ini supaya kita dapat laksana pada 1 Disember ini,” katanya.
Anwar berkata demikian dalam ucapannya ketika hadir pada Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Sambutan Hari Raya Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini hari ini.
Beliau bagaimanapun berkata, masih terdapat “cakap-cakap hambar” yang memperlekehkan dasar tersebut.
“Saya ucap terima kasih kepada keluarga penjawat awam umumnya kerana sambut begitu baik pengumuman ini. Tetapi kita tak boleh menghalang beberapa kenyataan yang hambar.
“Satu, ini pengumuman Anwar untuk laksana (kenaikan gaji) 1 Disember, mana tahu Parlimen tak lulus. Saya nak tanya Ahli Parlimen mana yang nak bantah. Kalau bantah, kita humban pada pilihan raya akan datang,” katanya lagi.
Perdana Menteri turut menegaskan, pengumuman kenaikan gaji tersebut tiada kaitan dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.
Ini kerana, jelasnya, keputusan tersebut telah dibuat pada awal tahun sebelum ADUN tersebut, Lee Kee Hiong meninggal dunia.
“Kita umum (keputusan) dasar (kenaikan gaji) pada 1 Mei, MAPPA (Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam) akan umum terperinci dan lengkapnya masa Belanjawan 2025 (pada Oktober).
“(Sebelum ini) saya minta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) santuni penjawat awam setiap negeri, bincang kalau perlu penyesuaian (gaji). Kenaikan secara umum 15 peratus tapi secara khusus bagi peringkat rendah kenaikan antara 20 hingga 40 peratus,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








