LHDN tidak teragak-agak geledah syarikat, individu culas bayar cukai
CYBERJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan penggeledahan terhadap mana-mana individu atau syarikat yang culas dalam membayar cukai.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin, LHDN telah mengenal pasti syarikat-syarikat yang culas membayar cukai menerusi pelbagai kaedah tertentu yang telah dilakukan setiap tahun.
“Sebenarnya ini merupakan tindakan yang berterusan, tetapi kita akan mempergiatkan lagi tahun ini untuk syarikat-syarikat yang culas daripada membayar cukai.
“Kes yang lebih serius ini apabila LHDN menguatkuasakan aktiviti siasatan, maka ia akan melibatkan kemungkinan geledah ini berlaku,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas Sambutan Hari Raya Aidilfitri bertemakan Gema Lebaran Aidilfitri di Menara LHDN di sini hari ini.
Februari lalu, ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Hasil ke-28 LHDN, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, agensi berkenaan tidak perlu takut untuk mengambil tindakan termasuk jika perlu menggeledah ke atas mereka yang tidak membayar cukai.
Mengulas mengenai sistem invois elektronik (e-invois), Abu Tariq berkata, LHDN akan menyediakan kemudahan bagi membantu perusahaan kecil untuk melakukan pendafataran dengan e-invois termasuk portal percuma.
“Yang penting adalah pendedahan dan pendidikan yang perlu diberikan kepada syarikat kecil untuk mendaftar. Mereka ada masa yang banyak sebelum Julai 2025 untuk meningkatkan kefahaman dalam penggunaan e-invois ini.
“LHDN akan sediakan segala kemudahan bagi membantu syarikat kecil termasuk mengadakan pertemuan untuk menerangkan mereka boleh turut serta dalam program e-invois,” jelasnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















