Berita Semasa

KWSP perkenal Akaun Fleksibel, boleh keluar simpanan bila-bila masa

SHAH ALAM – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperkenalkan akaun Fleksibel yang mana membolehkan ahli mengeluarkan simpanan pada bila-bila masa untuk sebarang tujuan.

Menurut KWSP, permohonan bagi pengeluaran daripada Akaun Fleksibel boleh dibuat melalui KWSP i-Akaun atau di mana-mana cawangan KWSP di seluruh negara tertakluk kepada amaun minimum pengeluaran sebanyak RM50.

Sehubungan itu, Akaun Fleksibel ahli akan bermula dengan baki sifar pada tarikh kuat kuasa struktur akaun baharu iaitu 11 Mei depan.

“Bagaimanapun, ahli diberikan pilihan untuk memindahkan sebahagian daripada baki simpanan yang ada dalam Akaun Sejahtera mereka (sebelum ini akaun dua) sebagai amaun permulaan dalam Akaun Fleksibel.

“Tempoh bagi ahli KWSP yang ingin membuat pindahan tersebut bermula pada 11 Mei 2024 sehingga 31 Ogos 2024,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, pilihan pindahan amaun permulaan ke Akaun Fleksibel diberikan agar membolehkan ahli membuat pengeluaran daripada akaun itu tanpa perlu menunggu caruman baharu.

Kaedah pindahan adalah mengikut dua pecahan iaitu pertama, baki ahli yang mempunyai simpanan sebanyak RM3,000 dan ke atas dalam Akaun Sejahtera, manakala yang kedua, baki adalah kurang dari RM3,000 dalam akaun sama.

Jelas KWSP, bagi RM3,000 ke atas 10 per 30 daripada baki dalam itu akan dipindahkan ke Akaun Fleksibel, Lima per 30 dipindahkan ke Akaun Persaraan dan 15 per 30 akan dikekalkan dalam Akaun Sejahtera.

“Berbeza dengan baki akaun kurang dari RM 3,000 yang mana Akaun Sejahtera yang mempunyai baki RM1,000 dan ke bawah, semua amaun dipindahkan ke Akaun Fleksibel.

“Akaun Sejahtera yang mempunyai baki melebihi RM1,000 dan tidak melebihi RM3,000, amaun yang dipindahkan ke Akaun Fleksibel adalah RM1,000. Bagaimanapun, baki selebihnya adalah kekal dalam Akaun Sejahtera,” katanya.

KWSP turut menjelaskan bahawa tiada pindahan akan dibuat ke Akaun Persaraan bagi simpanan dalam Akaun Sejahtera yang kurang dari RM3,000.

Show More

Related Articles

Back to top button