Warga emas bawa pulang Proton S70 Flagship X
Bermodalkan RM1,000 buka akaun dan guna perkhidmatan kewangan CBP
KUALA LUMPUR – Seorang warga emas tidak menyangka dengan hanya memilih perkhidmatan kewangan di CoopBank Pertama (CBP), dia berjaya membawa pulang sebuah kereta Proton S70 Flagship X.
Menurut Abdul Hamid Othman,68, yang berasal dari Chemor, Perak, dia pada mulanya ingin mendapatkan pembiayaan kewangan di bank lain, namun atas nasihat rakannya, dia memilih menjadi pelanggan CBP.
“Saya tidak sangka dengan memilih perkhidmatan di bank ini, saya berjaya menjadi pemenang.
“Terima kasih CBP di atas pemberian hadiah ini,” kata Abdul Hamid yang kemudiannya menambah, kereta yang dimenangi ini akan disimpan dan digunakan sebagai kenderaan hariannya.
Abdul Hamid merupakan pemenang hadiah pertama bagi Kempen Hello CBP (Suku Pertama) yang diumumkan sewaktu Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri CBP di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.
Hadiah disampaikan oleh Pengerusi CBP, Datuk Baharom Embi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CBP, Khairil Anuar Mohammad Anuar.
Kempen Hello CBP merupakan satu inisiatif khas yang ditawarkan kepada pelanggan baharu dan sedia ada yang melanggan produk-produk runcit CBP seperti Pembiayaan Peribadi Al-Yasser, Pembiayaan Perumahan Al-Amali dan Pembiayaan Ar Rahnu.
Kempen yang bermula dari 1 Januari sehingga 31 Disember ini menawarkan hadiah keseluruhan bernilai lebih RM1.5 juta berupa empat buah Proton S70 Flagship X, empat buat motosikal Suzuki Glzxxter, serta pakej umrah dan percutian dalam dan luar negara.