CBP catat prestasi memberangsangkan pada suku pertama 2024
KUALA LUMPUR – Coopbank Pertama (CBP) berjaya menunjukkan prestasi memberangsangkan pada suku tahun pertama 2024 apabila berjaya mengumpul jumlah aset mencecah hampir RM11.5 bilion.
Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Khairil Anuar Mohammad Anuar berkata, CBP turut berjaya mencatatkan keuntungan sebanyak RM30 juta pada tiga bulan pertama tahun ini.
“Pada masa yang sama, nisbah pinjaman tidak berbayar (NPL) masih di bawah paras industri iaitu 1.6 peratus dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, dan saya harap kadar ini akan terus berkekalan hingga akhir tahun,” kata Khairil Anuar dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau menambah, antara faktor yang memastikan kejayaan ini ialah disebabkan penggunaan perbankan digital iaitu aplikasi HeloCBP yang dilancarkan baru-baru ini yang mendorong kepada kecekapan perkhidmatan CBP.
“Kaedah HeloCBP ini ternyata amat memudahkan pelanggan melakukan urus niaga perbankan atas talian tanpa perlu ke kaunter,” katanya lagi.
Sehubungan itu, CBP juga merancang untuk melancarkan produk-produk baharu seperti Ar Rahnu Flexi, perniagaan kiriman wang dan perkhidmatan sewa beli, di samping pembiayaan peribadi kepada segmen-segmen baharu seperti kakitangan swasta.
Semalam, CBP telah menganjurkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, yang dihadiri oleh lebih 2,500 tetamu.
Hadir sama, Pengerusi CBP, Datuk Baharom Embi; Timbalan Pengerusi CBP, Nor Hidayah Omar serta Anggota Lembaga CBP; Pengurusan Kanan CBP, wakil-wakil agensi kerajaan dan koperasi serta rakan strategik yang lain.
Pada majlis sama, CBP turut menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah Kempen Hello CBP 2024 Bagi Suku Pertama kepada 10 orang pemenang.
Hadiah utama, iaitu sebuah kereta Proton S70 Flagship X, telah dimenangi Abdul Hamid Osman, diikuti dua buah motosikal Suzuki Gixxer 250 yang dimenangi oleh Abu Bakar Yahaya dan Adi Norazwan Misuan.
Selain itu, CBP turut menyampaikan hadiah-hadiah lain seperti pakej umrah dan pelbagai hadiah barangan elektrik lain yang bernilai keseluruhannya kira-kira RM300,000.
Cabutan hadiah Kempen Hello CBP 2024 ini diadakan pada setiap suku iaitu pada bulan Mac, Jun, September dan Disember.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |



