Berita Semasa

Pembakaran di pusat pelupusan sisa toksik Sendayan: Kerajaan negeri digesa ambil tindakan tegas

LABU – Kerajaan Negeri Sembilan digesa bersikap tegas terhadap pihak yang melakukan pelupusan sisa toksik di Sendayan sehingga mendatangkan kemudaratan kepada penduduk setempat.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker berkata, insiden kebakaran di pusat pelupusan sisa toksik itu amat membimbangkan dan bukan kali pertama berlaku.

Beliau berkata, ini kerana lokasi pusat tersebut berdekatan dengan kawasan kediaman penduduk.

“Pihak Syarikat Kualiti Alam perlu mengambil tindakan dan meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) syarikat,” katanya dalam satu siaran media hari ini.

Dalam pada itu beliau turut menyarankan supaya agensi di bawah kerajaan Negeri Sembilan, mengambil tindakan tegas dengan menjalankan audit keselamatan dan mengkaji semula kesesuaian lokasi pusat pelupusan sisa toksik ini.

“Insiden berulang jelas menunjukkan sikap kerajaan negeri dalam menangani isu ini,” katanya lagi.

Sebelum itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau yang juga Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hassan turut menyatakan kebimbangan sama mengenai isu tersebut.

“Sebarang bentuk pencemaran, kebocoran dan kebakaran di pusat tersebut akan mendatangkan kemudaratan kepada penduduk setempat,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook dua hari yang lalu.

Mohamad berharap pihak syarikat dan agensi kerajaan akan melakukan audit keselamatan dengan kadar segera.

“Ini adalah kebakaran kali ketiga yang berlaku sekitar tahun 2015, 2019 dan semalam,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button