BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Dua laporan polis dibuat terhadap Ketua Pemuda UMNO

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan penahanan Ketua Pemuda UMNO di Kota Kinabalu pagi ini dibuat susulan dua laporan polis ke atasnya.

Beliau berkata, laporan itu berkait dengan ucapan dan juga tindakannya mengenai isu stoking tertera kalimah Allah dijual di kedai serbaneka KK Mart pada 13 Mac lalu.

“PDRM mengesahkan telah menerima dua laporan polis berkaitan ucapan dan tindakan Ketua Pemuda Umno berhubung isu stoking tertera kalimah Allah di KK Mart.

“Siasatan telah dijalankan ke atas beliau dan kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara setelah kesemua tindakan bagi melengkapkan siasatan diambil,” katanya hari ini dalam kenyataan hari ini.

Razarudin berkata, penahanan Akmal dibuat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Akmal hari ini mendedahkan beliau ditahan polis di Lapangan Terbang Kota Kinabalu dan sedia memberi kerjasama kepada pihak polis.

Beliau bagaimanapun berkata tidak akan berganjak dari pendiriannya untuk memboikot rangkaian perniagaan KK Mart.

Ketika menaiki kenderaan polis beliau sempat berkata, “no fear, no surrender”.

“Saya tidak akan berganjak walau seinci dengan pendirian kita,” ujarnya.

Sementara itu Razarudin mengingatkan orang ramai agar tidak membangkitkan isu berkaitan stoking berkalimah Allah kerana mereka yang terlibat telah diambil tindakan.

“Mereka yang terlibat telah pun dituduh dan proses keadilan akan ditentukan oleh mahkamah,” tegasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button