Berita Semasa

[VIDEO] Kementerian Komunikasi, MCMC akan bertemu Meta

Bincang isu penyebaran berita palsu, aspek keselamatan dalam talian

PUTRAJAYA – Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan bertemu dengan pengendali rangkaian media sosial, Meta Platforms Inc, Isnin depan bagi membincangkan beberapa isu berkenaan berita palsu dan aspek keselamatan dalam talian.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, dalam pertemuan itu, beliau akan membangkitkan bagaimana Meta yang mengendalikan Facebook, WhatsApp dan Instagram diperalat sebagai medium penyebaran berita palsu.

@malaysiatribune

Fahmi Fadzil berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan pihak Meta bagi membincangkan isu penyebaran berita palsu itu mcmc skmm #kerajaanmadani #malaysiamadani #tilawah_alquran❤️❤️❤️

♬ original sound – malaysia tribune – malaysia tribune

“Sejak semalam kementerian ini mendapati ada siri mesej tersusun, satu tindakan yang dimulakan oleh beberapa watak, beberapa pihak, khususnya di platform Facebook yang membuat tuduhan dangkal dan jahat.

“Mereka menuduh bahawa tahun ini tidak ada majlis tilawah al-Quran peringkat kebangsaan atau antarabangsa dan mesej ini diulang dengan corak sedikit berbeza.

“Jadi Isnin ini, saya dan MCMC serta beberapa agensi lain akan mengadakan pertemuan dengan Meta dan kita akan bangkitkan bagaimana platform media sosial itu diperalat dan diperguna untuk memesong fakta dan menyebar maklumat serta berita palsu,” katanya dalam sidang akhbar pasca Kabinet, di sini hari ini.

Mengenai sebaran maklumat palsu berkaitan penganjuran tilawah al-Quran berkenaan, Fahmi berkata, beliau sudah mengarahkan MCMC untuk meneliti dan mengenal pasti pihak yang terbabit serta bersekongkol dalam isu berkenaan.

Beliau menegaskan, tindakan bersesuaian dan tegas akan diambil memandangkan ada pihak tertentu cuba memesong fakta.

Dalam pertemuan dengan Meta itu juga, Fahmi berkata, pihaknya akan membangkitkan isu keselamatan dalam talian mengenai kanak-kanak di bawah usia 13 tahun yang tidak sepatutnya mempunyai akaun media sosial.

Katanya, semua platform media sosial ketika ini tidak memberi penegasan melalui mekanisme ketat untuk menghalang kanak-kanak daripada membuka akaun media sosial.

“(Dan) Sekiranya pihak Meta gagal memberi kerjasama, kita ada beberapa tindakan yang sedang dirangka, yang akan kita ambil kemudian,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button