BERITA SEMASA

Isu perkataan kafir: Fadhlina sifatkan ia satu percubaan jahat untuk calarkan imej, kredibilitinya

KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyifatkan video tular yang memaparkan beliau didakwa menolak penggunaan label ‘kafir’ adalah satu percubaan jahat yang ingin mencalarkan imej dan kredibilitinya.

Fadhlina berkata, tuduhan tidak benar dan petikan yang diambil di luar konteks itu juga berniat mencetuskan kekecohan dalam isu berkait “3R” yang jauh daripada makna sebenar.

“Penularan video tersebut berniat mencetuskan kekecohan dalam isu berkait “3R” dengan memercikkan pemesongan makna dan menyebabkan saya ditohmah dengan ujaran kebencian, tuduhan tidak benar dan fitnah, malah diancam keselamatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Fadhlina membuat laporan polis dan bakal mengambil tindakan undang-undang susulan penyebaran hantaran berbaur fitnah terhadapnya di laman sosial.

Ia merujuk kepada satu video tular memaparkan Fadhlina yang didakwa menolak penggunaan label kafir ketika berucap dalam satu majlis.

Mengulas mengenai video tersebut, Fadhlina berkata, isu sebutan “kafir” atau “non-Muslim” bukanlah bermksud melarang penggunaan perkataan dalam al-Quran, apatah lagi menafikan istilah yang digunakan dalam al-Quran.

“Hakikatnya, langsung tidak timbul isu menghalang penggunaan istilah dalam al-Quran, malah tiada penafian istilah daripada al-Quran sebagaimana didakwa pihak-pihak tertentu.

“Pastinya saya sayangkan agama dan prinsip-prinsip Islam merupakan pegangan dalam menjalani kehidupan sehari-hari.

“Tiada timbul isu saya terseleweng daripada agama, justeru tuduhan jahat, melampau, dan bersifat menghina, serta takfiri tidak terlepas daripada radar pemerhatian untuk tindakan lanjut di sisi lunas undang-undang kerana ia jelas melanggar prinsip akhlak dan karamah insaniah,” ujarnya.

Tambah Fadhlina, beliau memohon maaf sekiranya ada mengguris perasaan mana-mana pihak, atas kesalahfahaman, keterlanjuran kata dan khilaf yang datang daripada kelemahan diri saya.

Walaubagaimanapun, beliau menegaskan tidak akan berkompromi soal fitnah, tuduhan jahat, penyelewengan konteks serta ancaman keselamatan terhadap dirinya dan keluarga.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button