TPM rakam ucapan takziah kepada keluarga mendiang Ramesh Rao
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merakamkan ucapan takziah kepada kepada keluarga mendiang Ramesh Rao Krishna Naidu yang meninggal dunia pagi tadi.
Timbalan Perdana Menteri berkata, pemergian Pegawai Khasnya itu merupakan satu perkara yang amat sedih dan mendukacitakan kerana mendiang sangat komited dalam menjalankan tugas.
“Dengan perasaan sedih dan dukacita, saya dan seluruh warga Pejabat Timbalan Perdana Menteri dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah ingin menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Ramesh Rao, Pegawai Khas yang meninggal dunia pada awal pagi Sabtu.
“Semoga ahli keluarga, kenalan dan rakan taulan mendiang tetap sabar dan tabah dalam menghadapi dugaan kehilangan insan yang mereka sayangi. Saya amat menghargai khidmat bakti dan jasa mendiang kepada masyarakat dan negara sebelum dan semasa beliau berkhidmat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ramesh yang juga Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin Malaysia dilantik ke jawatan itu pada 24 Disember lalu dalam satu pengumuman oleh Ahmad Zahid sendiri.
Mendiang dipertanggungjawabkan untuk menjaga hal ehwal masyarakat India.