
Pengiktirafan bah kut teh sebagai makanan warisan tiada kaitan bangsa, agama
KUALA LUMPUR – Pengiktirafan bak kut teh sebagai makanan warisan negara tiada kena mengena dengan isu bangsa atau agama.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing ketika menegaskan perkara itu berkata, pengiktirafan tersebut dibuat mengikut Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645).
“Bak Kut Teh bukan merupakan satu makanan yang pada hari ini baru ada. Kita tahu bahawa makanan bak kut teh dalam masyarakat ini, ada yang halal, yang tidak halal, bak kut teh vegetarian pun ada.
“Perdana Menteri menubuhkan Kerajaan Madani, semua kaum kita jaga. Saya rasa tidak payah jelaskan panjang lebar,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan Titah Diraja bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.
Sehubungan itu, beliau memohon semua pihak termasuk Ahli Parlimen lain supaya menghormati kepelbagaian budaya dan agama demi menjaga perpaduan serta keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Pada 24 Februari lalu, Pesuruhjaya Warisan, Jabatan Jabatan Warisan Negara, Mohamad Muda Bahadin memaklumkan 10 makanan termasuk bak kut teh diwartakan sebagai objek warisan melalui kuasa diberikan kepadanya oleh subseksyen 49(1) Akta 645.
Selain Bak Kut Teh yang juga makanan tradisional masyarakat Cina, makanan lain yang turut tersenarai adalah Burasak, Mi Kolok, Nasi Ambeng, Dodol Kukus Tahi Minyak, Kuih Genggang atau Lapis, Karas, Uthappam, Jeruk Tuhau dan Air Katira.
Isu bak kut teh itu mendapat perhatian dan reaksi masyarakat termasuk ahli politik kebelakangan ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








