Jalaluddin bertekad pastikan UMNO jadi pilihan utama di Nismilan
SEREMBAN – UMNO Negeri Sembilan akan terus memandang ke hadapan untuk menjadikan parti politik itu menjadi pilihan rakyat di negeri berkenaan.
Pengerusinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, pihaknya akan terus berusaha untuk memegang amanah rakyat yang diserahkan kepada parti itu, melalui lima Ahli Parlimen dan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) lalu.
“Insya-Allah UMNO Nismilan akan terus berusaha untuk memegang amanah rakyat dan menjaga perjuangan bangsa sejak turun temurun ini,” tulisnya dalam laman Facebook.
Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan yang ke-7 di sini.
Tambahnya lagi, selaku Pengerusi UMNO negeri, beliau meneliti setiap laporan yang dibentangkan dan berazam untuk terus bekerja kuat bagi membentuk masyarakat yang bermuafakat dan memperkasa perjuangan parti berkenaan.
“Saya meneliti setiap laporan yang dibentangkan, Insya-Allah kita akan terus bekerja kuat untuk memupuk permuafakatan bagi pemerkasaan sebuah perjuangan,” katanya.
Bagi tujuan tersebut, Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu berkata, UMNO Negeri Sembilan telah menyusun beberapa program berupa sentuhan kepada rakyat di negeri tersebut tanpa mengira kaum dan bangsa.
“Harapan UMNO Negeri Sembilan adalah dapat menyatakan kebersamaan parti tersebut dengan rakyat di Negeri Sembilan secara keseluruhan,” ujarnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















