BERITA SEMASA

Helikopter Maritim Malaysia lakukan pendaratan kecemasan di laut, semua mangsa selamat

KUALA SELANGOR – Sebuah helikopter AW139 dipercayai milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dipercayai jatuh terhempas berhampiran Pulau Angsa, dekat sini hari ini.

Difahamkan, kejadian itu berlaku ketika pesawat berkenaan sedang menjalani latihan ‘winching’.

Dalam pada itu Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Datuk Hamid Mohd Amin berkata,  pesawat helikopter AW 139 itu terpaksa melakukan pendaratan cemas di Perairan Pulau Angsa, Selangor pada jam lebih kurang 9:55 pagi tadi ketika melakukan latihan menyelamat.

“Maklumat awal diterima menerusi panggilan MERS 999 oleh pemancing yang berada di sekitar lokasi kejadian. Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) telah diaktifkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Maritime Rescue Coordination Centre (MRCC) Putrajaya pada jam 10:15 pagi tadi,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, pesawat yang mendarat cemas itu diterbangkan oleh Leftenan Komander Tengku Mohd Nizam Tengku Zakaria, Leftenan Komander Mohamad Azrol Saidi bersama seorang kru udara Pegawai Waran I, John Ibno dan seorang perenang penyelamat bintara, Muhamad Nurhayyat Hashim.

Katanya, semua kru AW139 telah diselamatkan oleh pesawat AS 365 N3 dan telah diterbangkan ke SUMS.

“Sebelum itu, bot pemancing yang berada di lokasi berkenaan telah memberi bantuan awal kepada kru yang terbabit dan 10 anggota Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) dan KM Bagan Datuk juga diatur gerak ke lokasi bagi melakukan kawalan keselamatan di lokasi kejadian.

“Maritim Malaysia akan melakukan siasatan lanjut untuk mengenalpasti punca-punca kejadian.

“Maritim Malaysia juga mengucapkan terima kasih atas maklumat dan tindakan pantas daripada komuniti maritim yang membantu CARILAMAT kejadian ini. Operasi CARILAMAT telah ditamatkan oleh CAAM pada jam 11:15 pagi sebentar tadi,” ujarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button