BERITA SEMASA

Tiga ikhtiar dikenal pasti mampu lonjakkan ekonomi Bumiputera – Ahmad Zahid

PUTRAJAYA – Tiga ikhtiar dikenal pasti sebagai pelonjak ekonomi Bumiputera bagi menjadikannya lebih terangkum dan mampan menjelang satu abad negara merdeka.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, antara ikhtiar berkenaan adalah pewujudan perbadanan tanah Bumiputera yang akan merangka mekanisme pemilikan tanah; Waqaf Kesihatan dan Pendidikan; serta Mengindustrikan Pertanian menggunakan teknologi dan inovasi baharu melalui sebuah entiti baharu.

“Penubuhan Perbadanan Tanah Bumiputera merupakan langkah proaktif dalam menjamin keseimbangan demografi kaum, mewujudkan kelangsungan kawasan usaha Bumiputera bagi tujuan pertanian, perindustrian dan penempatan baharu dan sebagai usaha tambahan mengekalkan pemilikan Bumiputera .

“Langkah ini saya percaya dapat memberi pulangan dan peluang yang lebih besar kepada Bumiputera untuk memiliki sebahagian daripada aset tanah negara,” kata Ahmad Zahid dalam ucaptamanya ketika merasmikan Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB2024) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Tambahnya, melalui perancangan teliti dan strategik, setiap kawasan yang diusahakan akan dapat memberi manfaat maksimum kepada komuniti Bumiputera dan pada masa yang sama dapat mencipta kelestarian ekonomi yang berterusan.

Berkenaan Waqaf Kesihatan dan Pendidikan, Ahmad Zahid mencadangkan pewujudan Pelan Waqaf Sihat dan Didik Bumiputera (SIDIK) yang merangkumi penyediaan fasiliti, perkhidmatan dan pembiayaan kesihatan, dan juga pemerkasaan institusi pendidikan dan pusat latihan, program dan juga pendanaan.

Dan bagi mengindustrikan pertanian, Ahmad Zahid turut mencadangkan penubuhan sebuah entiti bagi mengusahakan tanaman makanan.

“Melalui ikhtiar ini, kita juga perlu menggunakan teknologi dan inovasi baharu bagi meningkatkan hasil tanaman. Pastinya pengaplikasian teknologi moden dalam pertanian memerlukan kos dan pendanaan yang tinggi bagi menjayakannya.

“Dengan wujudnya sebuah entiti yang memberi tumpuan khusus kepada sektor ini, usaha pendanaan, kajian dan inovasi dapat dilakukan secara berstruktur untuk meningkatkan pengeluaran hasil,” kata Ahmad Zahid lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button