BERITA SEMASA

TMJ dimasyhur Pemangku Sultan Johor

JOHOR BAHRU – Jumaah Majlis DiRaja Johor mengumumkan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim dimasyhurkan sebagai Pemangku Sultan bagi Negeri Johor Darul Ta’zim, mulai hari ini.

Pemasyhuran tersebut diperkenan Sultan Johor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar dengan nasihat dan kuasa serta kehendak Fasal 9(1)(d) dan (3) Undang Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.

“Dengan kuasa dan kehendak Fasal 9 (1) (d) dan (3) dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 telah suka dan berkenan melantik Waris Takhta Kerajaan Johor, Tunku Mahkota Johor Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim sebagai Pemangku Sultan bagi Negeri Johor Darul Ta’zim pada hari Ahad, 28 Januari 2024 bersamaan 16 Rejab 1445 Hijrah di Istana Bukit Serene,” kata satu kenyataan yang dikeluarkan Yang Dipertua Jumaah Majlis DiRaja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli.

Pelantikan berkenaan adalah berterusan untuk selama Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar menjalankan tugas sebagai Yang Di-Pertuan Agong.

Kenyataan itu juga memaklumkan, Sultan Johor turut berkenan gelaran kehormatan bagi Pemangku Sultan, adalah “Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor” atau “DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor”.

Gelaran kehormatan berkenaan perlu digunakan dalam semua urusan rasmi kerajaan, termasuk persuratan, ucapan dan doa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button