Berita Semasa

Perjawatan baharu penjawat awam akan beralih dari berpencen kepada caruman KWSP

Kaedah pelaksanaan sedang dalam fasa pindaan undang-undang

BANGI – Jemaah kabinet bersetuju perjawatan bagi penjawat awam baharu berstatus tetap selepas ini, adalah tidak berpencen.

Sebaliknya, caruman akan dibuat menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagaimana dilaksanakan sektor swasta.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, pengumuman mengenai tempoh pelaksanaannya akan dibuat oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA).

“Kabinet meluluskan dasar baharu pengambilan tetap tetapi tidak berpencen. Mereka akan mencarum kepada (KWSP) dan Kerajaan memberikan sumbangan sebagaimana lazim yang dilakukan sebelum ini kepada kakitangan swasta.

“Mana-mana yang layak untuk sumbangan PERKESO juga akan diberikan,” kata Ahamad Zahid.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke ibu pejabat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), di sini hari ini.

Kaedah itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang penjawat awam sedia ada, kata Ahmad Zahid lagi.

“Pada tahun 2040, jika tidak ada sistem baharu ini, jumlah pencen yang terpaksa ditanggung Kerajaan mencecah RM 120 bilion,” katanya lagi.

Ketika ini, kaedah baharu itu sedang dalam fasa pindaan kepada undang-undang berkaitan, dan dilihat mampu mengurangkan tanggungan fiskal negara dalam tempoh jangka masa panjang.

Show More

Related Articles

Back to top button