Langkah Dubai tidak beri kesan kepada kerajaan – PM
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan gerakan untuk menjatuhkan kerajaan atau ‘Langkah Dubai’ yang dikatakan didalangi pemimpin parti pembangkang termasuk wakil tertentu kerajaan tidak memberi kesan terhadap kerajaan pimpinannya pada ketika ini.
Sebaliknya, Anwar yang juga Menteri Kewangan, berkata kerajaan akan terus memberikan tumpuan dalam usaha untuk membangunkan negara dan rakyat.
“Saya baca mengenai ‘Langkah Dubai’ tapi bagi saya kita tumpu soal kerja. Itu kerja mereka bagi saya tidak beri kesan dan yang penting kita sudah mula 2 Januari lancarkan satu program penting bagi rakyat.
“Tumpuan kita bangunkan negara jaga rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pangkalan Data Utama (PADU) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
Terdahulu, Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Ismail Yusop sebelum ini mendakwa, wujud satu gerakan yang sedang dirancang bagi menjatuhkan kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim.
Beliau berkata rancangan yang digelar sebagai ‘Langkah Dubai’ timbul sewaktu percutian pemimpin Perikatan Nasional (PN) termasuk dari pihak kerajaan di ibu kota Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini.
Pertemuan itu diadakan untuk memberikan tugas khusus kepada ‘pegawai’ yang bertanggungjawab bagi mengenal pasti ahli-ahli parlimen yang berpotensi memberikan sokongan mereka kepada pembangkang dengan menerima sogokan.