PM Anwar lancar PADU hari ini
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual melancarkan Pangkalan Data Utama (PADU), di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Majlis yang bermula 8.30 pagi hingga 2 petang, membabitkan pembentangan mengenai PADU oleh Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dan forum bertajuk ‘Memacu Peralihan Melalui PADU’, sebelum Anwar dijadual merasmikan sistem berkenaan pada 12.30 tengah hari.
Kementerian Ekonomi dalam laman Facebook memaklumkan, sistem yang mengandungi profil individu dan isi rumah meliputi warganegara dan pemastautin tetap di Malaysia itu akan dibuka secara rasmi kepada seluruh rakyat Malaysia usai majlis pelancaran berkenaan.
Menterinya, Rafizi Ramli turut menjemput orang ramai untuk hadir ke pelancaran PADU, sekali gus menyaksikan bagaimana sistem itu menjadi komponen utama penyasaran semula subsidi dan bantuan kerajaan.
Sebagai rekod, PADU dibangunkan sepenuhnya penjawat awam dari tiga agensi utama yang terdiri daripada Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) yang melibatkan kerjasama semua agensi lain.
Malah, PADU dibangunkan dengan menggunakan peruntukan sedia ada dan segala infrastruktur yang telah ada tanpa perlu membuka tender baru kepada pihak swasta.