JENAYAH & MAHKAMAH

Empat lelaki ditahan bakar mercun di tengah jalan

JOHOR BAHRU – Empat lelaki berusia 16 hingga 25 tahun ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam kejadian membakar mercun di atas jalan berhampiran lampu isyarat di Taman Nesa, Skudai, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Azrol Anuar Nor berkata, kesemua suspek diberkas dalam operasi di sekitar Skudai kira-kira pukul 7.30 malam tadi susulan penularan video kejadian itu di media sosial.

Menurut beliau, semakan mendapati semua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau, manakala ujian saringan awal air kencing menunjukkan keputusan negatif.

“Semua suspek akan dibawa ke Mahkamah Johor Bahru hari ini bagi permohonan perintah reman untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 286 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan gopoh atau cuai membabitkan bahan letupan sehingga membahayakan nyawa atau berisiko menyebabkan kecederaan kepada orang lain.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga enam bulan atau didenda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Polis turut menjalankan siasatan mengikut Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menghalang atau membahayakan pengguna jalan raya dengan memberhentikan kenderaan secara tidak wajar.

Kesalahan itu memperuntukkan denda antara RM1,000 hingga RM5,000 atau hukuman penjara, atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, Azrol Anuar berkata, polis masih mengesan tiga lagi individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian berkenaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Hotline IPD Johor Bahru Utara di talian 07-5563122.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button