Cico Harahap meninggal dunia pada usia 48 tahun
KUALA LUMPUR – Pelakon Cico Harahap, anak kepada penyanyi legenda Uji Rashid dilaporkan meninggal dunia di Hospital Ampang, di sini kira-kira pukul 11 pagi tadi.
Allahyarham atau nama sebenarnya Ezzaq Farrouq Harahap Jamaludin, 48, menghembuskan nafas terakhir selepas dimasukkan ke hospital berkenaan sejak seminggu lalu akibat mengalami kesukaran bernafas.
Berita pemergian pelakon itu disahkan Presiden Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM), Sandakiah Azez.
Menurut Sandakiah, Allahyarham pada awalnya ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebelum dipindahkan ke wad biasa Khamis lalu.
“Mulanya Cico dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), tapi pada Khamis lepas dah dimasukkan ke wad biasa.
“Bagaimanapun, punca kematiannya belum dapat dikenal pasti,” katanya memetik laporan Metro Online.
Usaha media menghubungi Uji Rashid bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai pemergian anaknya itu bagaimanapun belum berhasil setakat ini.
Cico mula menceburi bidang lakonan pada 1993 menerusi filem Kekasih Awal dan Akhir sebelum mencipta nama menerusi beberapa karya popular, termasuk filem Puteri Impian, Anak Mami The Movie, Mami Jarum dan Kuliah Cinta.
Beliau turut membintangi filem Anak Mami Kembali dan dikenali menerusi watak Saiful dalam francais Anak Mami, selain penampilannya dalam siri Puteri Impian.
Bagaimanapun, perjalanan seni Cico terjejas selepas beliau berdepan masalah kesihatan serius pada penghujung 2016 yang menjejaskan keupayaan fizikal serta pertuturannya.
Uji sebelum ini pernah berkongsi mengenai dugaan menjaga anaknya itu, yang didakwa mengalami masalah kesihatan selepas menghadiri majlis sambutan hari jadi seorang kenalan pada 2016.
Menurut laporan media terdahulu, keadaan Cico ketika itu memberi kesan kepada otak, organ dalaman dan keupayaan pertuturannya, sekali gus menyebabkan beliau kurang aktif dalam dunia hiburan.
Penyanyi veteran itu juga pernah membawa anaknya mendapatkan rawatan di hospital selain ikhtiar melalui perubatan Islam bagi membantu proses pemulihannya.
Pada April 2024, Cico sekali lagi dilaporkan dimasukkan ke Hospital Ampang akibat masalah jantung yang turut menyebabkan kakinya membengkak.
Walaupun berdepan masalah kesihatan berpanjangan, Cico menunjukkan perkembangan positif dalam tempoh pemulihannya dan pada Mac 2025 dilaporkan semakin aktif berinteraksi dengan peminat menerusi siaran langsung di TikTok.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














