KKM tunggu keputusan makmal, periksa kilang Gardenia
PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menunggu keputusan analisis makmal serta melaksanakan pemeriksaan susulan di kilang Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd bagi mengesahkan pematuhan terhadap Akta Makanan 1983.
KKM dalam satu kenyataan memaklumkan, tindakan itu susulan aduan pengguna yang mendakwa mengalami masalah kesihatan selepas memakan produk keluaran syarikat terbabit.
KKM turut memaklumkan, siasatan awal telah dilaksanakan berikutan aduan yang tular di media sosial dan laporan media berhubung kesan kesihatan yang dialami pengguna selepas memakan produk roti, khususnya roti Gardenia Original Classic White Bread dan Twiggies Choc-A-Lot.
Menurut KKM, pihaknya telah menuntut penjelasan daripada pihak Gardenia Bakeries (KL), di mana siasatan dalaman pihak syarikat mendakwa tiada sebarang kejanggalan dikesan dalam proses pembuatan, tiada perubahan resipi mahupun ketidakpatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) dan kawalan keselamatan makanan.
“Usaha pengesanan produk masih terhad memandangkan butiran kelompok pengilangan (batch) dan tarikh luput yang dikemukakan adalah tidak lengkap.
“Bagaimanapun, baki produk bersama bungkusannya telah diambil dengan kebenaran pengadu untuk dihantar bagi analisis makmal,” kata kenyataan itu, hari ini.
KKM menegaskan, dapatan syarikat tersebut hanya bersandarkan kepada siasatan dalaman mereka sendiri dan belum boleh dijadikan asas bagi membuat kesimpulan muktamad mengenai punca sebenar gejala yang dilaporkan.
Kementerian turut memberi jaminan bahawa tindakan penguatkuasaan sewajarnya akan diambil tanpa kompromi sekiranya terbukti wujud sebarang pelanggaran undang-undang atau risiko terhadap keselamatan makanan.
Aduan berkaitan keselamatan makanan juga boleh disalurkan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SiSPAA) KKM atau melalui laman Facebook rasmi Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM).
Terdahulu, Gardenia mengesahkan sedang menyiasat aduan berhubung dakwaan di media sosial mengenai beberapa kanak-kanak yang dilaporkan jatuh sakit selepas memakan produk keluarannya, selain telah bertemu salah seorang pengadu terbabit dan mengumpul sampel berkaitan untuk pemeriksaan lanjut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














