BERITA SEMASA

Lebuhraya PLUS sesak menjelang Deepavali, kemalangan tambah gangguan trafik

KUALA LUMPUR – Aliran trafik di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dilaporkan sesak di beberapa laluan kedua-dua arah terutama menuju utara, sejak tengah malam tadi berikutan pertambahan kenderaan menjelang sambutan Deepavali esok.

Keadaan itu turut diburukkan dengan beberapa kemalangan dan kenderaan rosak yang menghalang lorong serta menyebabkan kesesakan di beberapa lokasi.

Menurut kemas kini PLUS di platform X, trafik mula sesak seawal pukul 12.04 tengah malam dari Permatang Pauh ke Sungai Dua arah utara.

Kesesakan turut dilaporkan dari Slim River ke Sungkai, Hospital Sungai Buloh ke kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Rawang, Jasin ke Ayer Keroh, Kulai ke Sedenak serta Skudai ke Senai.

Bagi laluan arah selatan, trafik sesak dilaporkan di Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) dari Bandar Serenia ke Bandar Baru Nilai.

PLUS memaklumkan kemalangan di Kilometer (KM) 420.7 arah utara dari Bukit Beruntung ke Bukit Tagar pada pukul 7.31 pagi menyebabkan lorong kecemasan terhalang dan trafik sesak.

Satu lagi kemalangan di KM81 arah utara dari Ayer Hitam ke Yong Peng Selatan menyebabkan lorong kiri terhalang, dengan kesesakan dilaporkan sepanjang tujuh kilometer sebelum meningkat kepada sembilan kilometer berdasarkan kemas kini pukul 3.06 pagi.

Kemalangan di KM354 arah utara dari Slim River ke Sungkai pada pukul 3.27 pagi pula menyebabkan lorong kanan terhalang. Walaupun lorong itu dibuka semula pada pukul 4.29 pagi, lorong kecemasan masih ditutup dan trafik kekal sesak.

Selain itu, kemalangan turut dilaporkan di KM409.6 arah utara dari Lembah Beringin ke Tanjong Malim serta KM315 dari Tapah ke Gopeng. Sebuah treler rosak di KM320.3 arah utara dari Tapah ke Gopeng pada pukul 3.43 pagi turut menghalang lorong kiri dan menyebabkan kesesakan.

Bagi laluan arah selatan, kemalangan dilaporkan di KM227.3 dari Pedas Linggi ke Simpang Ampat, KM277.6 dari Bandar Baru Nilai ke Bandar Ainsdale, KM267.2 dari Bandar Ainsdale ke Seremban serta KM160 dari Tangkak ke Bukit Gambir yang menyebabkan lorong kecemasan terhalang.

Sementara itu, trafik di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) dilaporkan lancar di kedua-dua arah setakat pukul 7 pagi.

Sebelum itu, kesesakan sepanjang dua kilometer dari Genting Sempah ke Bukit Tinggi dan 5.3 kilometer dari Bukit Tinggi ke Lentang arah timur dilaporkan pada pukul 2.25 pagi berikutan pertambahan kenderaan, namun aliran trafik kembali lancar berdasarkan kemas kini PLUS antara pukul 2.30 hingga 7 pagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button